Friday, May 29, 2015

UJIAN SEGAK 2015

Ujian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK)

Tarikh : 27 hingga 29 Mei 2015

                                Ujian   Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan  (SEGAK) dalam PENTAKSIRAN AKTIVITI JASMANI, SUKAN DAN KOKURIKULUM(PAJSK) merupakan aktiviti fizikal yang dilakukan oleh murid sekolah untuk mengukur kecergasan berdasarkan kepada Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK) yang ditetapkan. Skor mengikut tahap umur ini ditetapkan dengan menggunakan indeks skor standard yang telah diperakui di peringkat kebangsaan. SEGAK terdiri daripada empat aktiviti iaitu "Naik turun bangku", "Tekan tubi", "Ringkuk Tubi Separa" dan "Jangkauan Melunjur"


Objektif SEGAK ialah menilai dan mengukur tahap kecergasan fizikal murid.

Konstruk yang diukur:
  • Perkembangan fizikal murid
  • Kecergasan
  • Senaman

Pelaksanaan Pentaksiran SEGAK:
  • Ujian SEGAK ditadbir oleh guru Pendidikan Jasmani dua kali setahun.
  • Ujian ini dilaksanakan kepada semua murid sekolah rendah Tahap 2 dan peringkat menengah rendah.
  • Ujian SEGAK dilaksanakan sejurus selepas BMI dijalankan.
  • Keempat-empat aktiviti SEGAK hendaklah dilaksanakan pada hari yang sama. 
  • Skor ujian SEGAK direkodkan oleh guru Pendidikan Jasmani menggunakan borang Rekod SEGAK seperti dilampiran A mulai Januari sehingga 31 Mac untuk penggal pertama dan mulai Jun sehingga 31 Ogos bagi penggal kedua.
  • Skor ujian SEGAK direkodkan oleh guru Pendidikan Jasmani dalam Sistem Pengurusan Sekolah mulai Januari sehingga 31 Mac untuk penggal pertama dan mulai Jun sehingga 31 Ogos bagi penggal kedua.
  • Pelaporan ujian SEGAK dicetak oleh Guru Pendidikan Jasmani dari aplikasi Sistem Pengurusan Sekolah.
Keselamatan mengendali Ujian SEGAK:

1.Murid dikecualikan daripada mengambil ujian ini jika :
(a)disahkan oleh Pegawai Perubatan tidak layak mengambil ujian kecergasanfizikal;
(b)mengidap penyakit kronik; dan
(c)tidak sihat pada waktu ujian.

2.Alatan ujian yang digunakan mesti lengkap, selamat dan berfungsi dengan baik.

3.Kawasan ujian mesti selamat dan sesuai dengan jenis ujian yang hendak dijalankan.

4.Murid memakai pakaian Pendidikan Jasmani.

5.Pengawasan guru diutamakan semasa ujian dilaksanakan.

6.Murid melakukan aktiviti menyejukkan badan selepas ujian dilaksanakan.


Komponen Kecergasan

Antara komponen kecergasan berasaskan kesihatan iaitu; 
  • Komposisi badan 
  • Daya tahan kardiovaskular 
  • Daya tahan otot 
  • Kekuatan otot 
  • Kelenturan

Item Bateri Ujian

  1. Indeks jisim badan 
  2. Naik turun bangku 
  3. Tekan tubi 
  4. Ringkuk tubi separa 
  5. Jangkauan Melunjur


Ujian Indeks Jisim Badan

Nama Ujian:
Indeks Jisim Badan (BMI-for-age)

Tujuan:
Menilai komposisi badan

Tahap:
Murid Tahun 4 hingga Tahun 6

Jantina:
Lelaki dan Perempuan

Alatan dan kemudahan:
  1. Pengukur tinggi
  2. Penimbang berat
  3. Borang skor

Pengurusan dan organisasi:
Pengukuran ini boleh dilaksanakan sebelum ujian kecergasan bermula.

Prosedur:

  1. Murid dikehendaki menimbang berat badan dalam ukuran kilogram dan mengukur ketinggian dalam meter.

  1. Kira indeks jisim badan berdasarkan formula berikut:



Indeks Jisim Badan  =         Berat badan (kg)
                                       Tinggi (m) x  Tinggi (m)


  1. Rujuk jadual di bawah untuk mengenal pasti komposisi berat badan.


* (Rujukan: National Centre For Chronic Disease Prevention And Health Promotion 2000)